Airmata Karbala menitis di kota Kaherah
Sebuah Cerpen Nukilah Akhi Masrawi NOTA:(Membaca cerpen ini menuntut
keterbukaan. Ia adalah sebuah karya yang agak asing. Penulis sempat
merujuk beberapa buah kitab sebelum menulisnya. Semoga fakta yang
dikemukakan bertepatan) Air Mata Karbala menitis di Kota Kaherah Hati
dirundung duka. Air mata bertakung di kelopak mata. Meski kaki sudah
kekejangan berdiri, namun aku masih tidak berganjak walau setapak. Mahu
terus untuk merenung dan mengingati sebuah kedukaan yang tercetus di
zaman lalu. Aku merenung pusara Saidina Husain Bin Ali K.w dengan
tenang meskipun hati bergelora meronta mahu menyingkap sebuah sejarah
yang telah lama terukir. Pusara itu kekal di situ. Ya… di sebuah Kota
kegemilangan pinggir Kaherah. Namanya Kota Husain. Ada riwayat lain
turut menyatakan pusara Saidina Husain sebenarnya di tempat lain. Ada
riwayat yang menyatakan di karbala; tempat di mana dia dibunuh. Malah
ada yang menyatakan di Damsyik berhujah kepalanya dibawa ke hadapan
khalifah Yazid selepas pembunuhan. Di Mesir pula timbul selepas
beberapa lama. Walaupun aku tidak pasti kesahehan ihtimalku terhadap
pusara itu namun banyak pengajaran sebenarnya aku perolehi sementelah
bertandang ke situ. Sehingga kini kebanyakan umat Islam masih
menyalahkan keluarga Muawiyah di dalam tragedi pertumpahan darah di
Karbala. Terutama Yazid… Mengapa? Aku ingin menyingkap secara ringkas
kepada kalian tentang peristiwa itu. Ia bukan lagenda atau cereka dalam
kebanyakan cerita pendek. Ia adalah sebuah hakikat sejarah yang telah
ternukil di lebaran sirah umat Islam. Kata-kata seorang ustazku masih
tergiang diingatan. Sehingga kata-kata itu sirna aku masih belum
menemui jawapan. "Kita tak boleh menyalahkan sesiapa. Baik Muawiyah
mahupun Saidina Ali. Lagipun semua yang berlaku ada hikmah yang
tersirat." Fikri rakan sekelasku memprotes. "Saya terima pendapat
Ustaz… tapi Muawiyah sepatutnya menjadi gabnor yang patuh. Tidak
wajar seorang gabnor menginginkan jawatan khalifah sedangkan Saidina
Ali telah pun dibaiah." "Fikri… awak sepatutnya tidak mendahulukan
ra’yu yang khilaf terhadap tarikh." Jelas ustazku tenang. Kelas sepi.
Pelajar-pelajar lain menumpukan perhatian pada hujah Fikri. Ada yang
memandang ustaz sambil mengerut dahi menuntut jawapan selanjutnya. Aku
terdiam. Berfikir sedalam-dalam. Kata-kata Fikri seolah menyisih
sumbangan Muawiyah dan dalam masa yang sama dominsi simpatinya begitu
tinggi terhadap Saidina Ali k.w. Meskipun sejarah menukilkan bukan
Muwiyah yang membunuh Saidina Ali; Muawiyah masih dianggap salah. Aku
kebingungan. Tiada jawapan. Malah aku pernah berjidal dengan Fikri. Dia
tidak sepatutnya terlalu ego dengan pendapatnya. Untuk menentukan siapa
betul atau siapa salah bukan kita. Allah lebih mengetahui segalanya.
Sepatutnya kita mengambil pengajaran dan hikmah dari sejarah. Bukan
menambah kerumitan. Madah Tarikh adab Islami memeningkan. Zaman
khilafah Islamiah terpaksa dibongkar. Nyatanya ada zaman emas. Ada
zaman haru-biru. ‘Sejarah Umat Islam sebenarnya sesuatu yang rumit’.
Aku membuat kesimpulan sendiri. Lantaran itu aku mengambil keputusan
bertandang mencari jawapan di bumi Al-Azhar. Seketika selepas Saidina
Usman r.a dibunuh setelah 11 tahun memegang amanah sebagai khalifah
maka kebanyakan umat Islam ketika itu telah memilih Saidina Ali K.w
untuk meneruskan amanah Allah. Saidina Ali menolak. Sehinggalah berlaku
desakan demi desakan yang keras; Saidina Ali terpaksa akur untuk
menerima amanah tersebut. Setelah Saidina Ali K.w menjawat jawatan
khalifah itu menurut riwayat; beliau telah mengambil tindakan
terburu-buru dengan memecat kebanyakan pegawai dan gabnor yang dilantik
sewaktu pemerintahan Saidina Usman. Meskipun sebelum itu beliau pernah
dinasihati oleh beberapa orang sahabat supaya tidak terburu-buru dengan
tindakan tersebut. Pada hematnya tindakan memecat pegawai-pegawai
Saidina Usman itu wajar lantaran perlantikan mereka ketika zaman
Khilafah Usman adalah kerana berkerabat dengan Saidina Usman r.a
semata-mata. Bukan lantaran kelayakan. Sedangkan ketika itu
kekhilafahan Saidina Ali k.w masih belum dibaiah
oleh mereka. Sehingga beliau mengutuskan utusan membawa surat kepada
Saidina Muawiyah yang sedang berada di Syam. "Kau nak ikut aku pulang
ke tak, Taufiq?" Soal Fuad sambil bergegas mengambil beg sandangnya.
Kemudian beg itu disandang ke bahunya. Hanya beberapa buah kitab kuliah
di dalamnya bergerak-gerak. Selesai kuliah di Al-Azhar selepas Zohor
Aku dan Fuad bertandang ke Masjid Husain untuk berehat. Untuk berebut
pulang pada waktu tenghari itu memeritkan. Malah terpaksa berebut-rebut
untuk memanjat bas dengan orang-orang arab Mesir dan pelajar-pelajar
lain yang turut mahu pulang sehabis kuliah. Biasanya kami akan berehat
seketika di Masjid Hussain atau menghadiri kelas pengajian talaqi di
Jami’ Al-Azhar As-Syarif bersebelahan Masjid Husain yang biasanya
diadakan selepas asar. Aku masih diam. Tiada jawapan kepada pertanyaan
Fuad. "Aku mahu bersegera menghambat bas. Lagipun Maghrib sudah hampir.
Malam ini kita ada mau’id dengan Sheikh Fathi untuk tasmi’ Al-Quran di
Masjid Musa. Kalau kau mahu ikut sekali kita perlu pulang segera."
Jelas Fuad bersahaja. "Aku mahu solat Maghrib di sini saja. Lepas itu
barangkali aku menyusul ke Masjid Musa. Kita jumpa di sana. Mungkin
hampir Isyak aku akan sampai." "Baiklah. Kita jumpa di sana nanti.
Jangan kau lupa pula! Minggu lepas pun kau tak hadir tasmi’ dengan
Sheikh Fathi. Dia bertanya tentang kau. Tiada jawapan yang aku berikan
selain berjanji yang kau akan hadir hari ini." Fuad mengingatkan aku
sambil berlalu pergi. Aku masih di sisi pusara Saidina Husain anak
kepada Saidina Ali dan merupakan cucu Rasulullah saw. Aku masih
terkenangkan Tragedi Karbala. Lokasi di mana Saidina Husain dibunuh.
Dia dibunuh oleh tentera Yazid bin Muawiyah yang dikepalai oleh
Ubaidullah bin Ziyad. Kepalanya dipenggal untuk di bawa ke hadapan
Yazid di Damsyik. Yazid menduduki takhta pemerintahan selepas kematian
bapanya Muawiyah bin Abu Sufyan. Maka bermulalah pemerintahan khalifah
pertama dalam Islam berbentuk monarki keturunan. Kerajaan Bani Umaiyah
bertahan agak lama juga. Semenjak jatuhnya kuasa itu ke tangan Muawiyah
sehinggalah tahun 132H ketika Abul Abbas Assafah diangkat menjadi
khalifah. Maka setelah itu bermulalah pemerintahan Kerajaan Bani Abbas
dan berakhirlah pemerintahan Bani Umaiyah di Damsyik. Namun seorang
daripada keturunan Umaiyah iaitu Abdul Rahman Bin Muawiyah bin Hisyam
bin Abdul Malik berjaya menyusup ke Andalusia (Sepanyol) dan mendirikan
alias meneruskan kerajaan Bani Umaiyah di sana. Sewaktu kecil Yazid
dididik sangat manja oleh ayahnya. Lantaran itu dia membesar sebagai
anak bangsawan yang fakir tentang hal keagamaan. Dia hanya suka
berhibur dan kurang mengambil peduli hal-hal yang lebih penting tentang
kehidupan. Namun keistimewaannya ialah fasih dalam bahasa. Justeru dia
pandai bersyair. Meskipun pernah diberikan jawatan yang penting oleh
Muawiyah ketika kekuasaannya namun Yazid tidak betah belajar untuk
menjadi pemimpin yang baik. Kebanyakan ahli-ahli politik pada zaman
tersebut mencadangkan kepada Muawiyah supaya dia menentukan anaknya
Yazid menjadi khalifah selepas kematiannya. Ini bertujuan supaya tidak
terjadi pertumpahan darah akibat berebut jawatan khalifah. Sebenarnya
cara tersebut telah menyalahi sistem yang diperkenalkan oleh Islam
iaitu melalui syura yang akhirnya bertukar kepada hak keturunan
sehingga layak dinamakan raja sahaja, bukan khalifah. Mataku masih
merenung pusara Saidina Husain. Orang-orang Mesir agaknya bersimpati
dan ‘menjaga’ keturunan Ahli bait. Barangkali sebab itu pusara Saidina
Husain terjaga rapi. Aku masih terhimpit dengan pertembungan itu. Di
benakku terpancul pelbagai persoalan. Siapa sebenarnya yang bersalah
atau pihak mana yang betul. Muawiyah? Yazid? Husain sendiri… atau
siapa? Malah persoalan itu berkubur sendirian. Aku sendiri tersihir
dengan persoalan-persoalan tadi. ************ Utusan yang dihantar oleh
Saidina Ali K.w kepada Muawiyah disuruh pulang dengan tangan kosong.
Muawiyah akan menjawab surat Saidina Ali itu dengan menghantar
utusannya sendiri. Tidak lama selepas itu dihantarnya balasan surat
Saidina
Ali itu melalui utusannya ke Madinah. Surat kosong itu hanya tertulis
‘bismillahirrahmanirrahim’ dan diluarnya tertera tulisan ‘dari Muawiyah
bin Abu Sufyan kepada Ali bin Abi Thalib’. Tanpa perkataan ‘Amirul
mukminin’ jelaslah bahawa Muawiyah belum mengakui bai’ahnya terhadap
Saidina Ali K.w. Malah Muawiyah telah mempersiapkan tenteranya untuk
memerangi pembunuh Saidina Usman r.a. Manakala lain pula halnya di
Madinah, Muawiyah dipandang telah derhaka kerana keengganannya mengakui
kekuasaan khalifah yang sah, sebab itu halal pula memeranginya.
Muawiyah seorang yang cekap politik, bijaksana dan pintar mengatur
urusan dunia. Memeluk Islam sewaktu Fathu Makkah. Dia adalah juru
tulis; bahkan penulis wahyu kepada Baginda Rasulullah dan turut
meriwayat hadith. Sememangnya para sahabat mempunyai kelebihan
masing-masing yang berbeza. Malah ada riwayat yang menyatakan dia
seorang yang bijak berdampingan dan mempunyai pengaruh yang kuat.
Meskipun begitu kemenangannya menjawat jawatan khalifah bukanlah di
atas kehendak umum tetapi melalui percaturan Amru bin Al-’Ash sewaktu
mengikat perdamaian dengan Abu Musa Al-Asyari di Daumatul Jandal. Di
sinilah bermula suratan tersirat dan seribu satu hikmah yang
tersembunyi sehingga kurang diketahui oleh kebanyakan umat Islam.
Sebenarnya Muawiyah sangat menginginkan jawatan khalifah itu selepas
kematian Saidina Usman r.a. Sedangkan Saidina Ali k.w diangkat menjadi
khalifah. Di kala itu huru-hara selepas pembunuhan Saidina Usman r.a
masih belum reda. Ini memungkinkan Muawiyah mencapai impiannya itu.
Sementelah untuk mencapai hasratnya, Muawiyah mengatur pelbagai helah
siasahnya. Berlaku beberapa siri peperangan yang merugikan umat Islam.
Kematian demi kematian. Di antaranya peperangan Jamal (unta) dan
peperangan Siffin. Sewaktu pertempuran di medan Siffin tercetus tentera
pimpinan Saidina Ali K.w hampir berjaya menewaskan tentera Muawiyah.
Sehingga terdengar laungan meminta supaya menghentikan peperangan dan
berhukum mengikut kitab Allah. Maka terjadilah gencatan senjata.
Muawiyah mengusulkan supaya dilakukan Majlis tahkim dengan Amru bin
Al-Ash mewakili Muawiyah sedangkan Saidina Ali k.w keberatan melepaskan
Abu Musa Al-Asyari menjadi wakilnya. Namun orang ramai telah memilihnya
dan berkeras. ********* Di luar sana hari semakin gelap. Lampu-lampu
masjid telah lama menyala. Musim panas di Mesir membahang panas. Siang
lebih panjang dari malam. Orang awam berada di mana-mana. Bingar
kenderaan masih kedengaran. Penumpang-penumpang menyesakkan kenderaan
awam. Bas merah terutamanya sebab nilai tambang cuma 25 sen. Aku masih
termangu sendirian. Seorang siswa menghampiriku. Aku sempat merenung
tajam ke arahnya. Dia sebenarnya kukenali. Teman seperjuangan yang
turut bersama di Al-Azhar. Cuma dia seniurku. Dia menepuk bahuku. Aku
menoleh membuang pandang sambil tersenyum tawar. Tangan kami berjabat
mesra. "Akhi Taufiq! Hari dah nak maghrib, mengapa masih sendirian di
sini?" Tegur Azmi membuka bicara. "Ana nak solat di sini. Lepas tu
barangkali akan menyusuli Fuad di Masjid Musa. Kami ada mau’id tasmi’
Al-Quran dengan Sheikh Fathi." Jelasku tanpa disoal. "Dari tadi ana
tengok akhi di sini. Mesti ada sesuatu yang difikirkan." Azmi meneka.
"Melihat pusar Saidina Husain ana terkenang tragedi pertumpahan darah
di Karbala. Tetapi tidak terniat untuk menyalahkan sesiapa." "Baguslah
kalau begitu. Sewajarnya kita menjadi orang yang mu’tadil dalam hal
seperti ini." Tutur Azmi sambil tersenyum tawar. "Akhi Azmi… boleh
ana tanya sesuatu?" Pintaku. "Tentang apa akhi Taufiq?" "Siapa yang
terlibat dalam komplot pembunuhan Saidina Ali k.w?" "Mengikut apa yang
ana tahu pembunuh Saidina Ali ialah Ibnu Muljam. Anta boleh rujuk kitab
Feqh sirah karangan Al-Buthi. Mengapa?" Azmi kembali melontar
persoalan. "Ibnu Muljam golongan khawarij kan?" "Ya… Malah bukan cuma
Ibnu Muljam merancang untuk membunuh Saidina Ali, golongan khawrij
telah berpakat untuk membunuh Muawiyah dan Amru bin Al-Ash juga. Tetapi
yang berhasil cuma Ali. Muawiyah dan Amru terselamat. Ramai orang Islam
yang tak tahu. Malah lebih menyedihkan ada yang menuduh Muawiyah yang
bersalah tanpa usul periksa." Jelas Azmi. Kelihatan jemaah sudah mula
memenuhi ruang masjid. Azan dilaungkan. Sayu rasanya hati. Keinsafan
menerjah dalam diri. Umat Islam dibina atas kesatuan. Kalimah Tauhid
menjadi neraca. Tuhan itu Esa tiada dua atau bertiga. Konsep triniti
terlalu lemah sebenarnya. Kristian masih mengunggulinya. Dan setiap
percaturan alam adalah qudrah dan iradah Ilahi yang Esa. Kalaulah tuhan
itu berdua atau lebih sudah tentu kehendaknya berbilang. Sedangkan
ianya tidak terjadi secara kebetulan kerana perkara yang terjadi
kebetulan hanya jadi sekali sekala. Sedangkan percaturan Ilahi terhadap
siang dan malam, peredaran cakerawala pada paksinya mengikut ketetapan,
kejadian pasang surut air laut, dan sebagainya terjadi berulang kali.
Malah ada peraturan pula. Sebagaimana siang yang bercahaya cerah, malam
pula bumi akan gelap dari simbahan cahaya matahari. Itulah sunnatullah.
Khilafah jatuh ke tangan Saidina Muawiyah. Golongan khawarij masih
ingkar mengakui kekhilafahannya. Ini bermakna golongan khawarij
memusuhi Saidina Ali dan berdendam terhadap pemerintahan Muawiyah. Itu
tidak penting. Meskipun beralih kuasa khalifah masih dipegang oleh
kuasa Islam sehingga jatuhnyanya kerajaan Turki Uthmaniyah. Khilafah
telah benr-benar hilang. Umat Islam patut sedar. Amanah untuk
mengembalikan khilafah Islam itu semula kerana itulah antara kemenangan
awal komplot zionis. Mustafa Kamal Al-Tartuk gemilang sebagai
pemerintah Turki moden sedangkan dia adalah alat zionis antarabangsa.
Orientalis menukilkan kegemilangan sumbangan At-Tartuk sedemikian dalam
catatan sejarah. Anak-anak umat Islam tertipu dengan penjajahan
pemikiran itu. Pada tahun ke 60H Muawiyah meninggal dunia dan Yazid
menjadi gantinya. Saidina Husain ketika itu berada di Makkah menerima
surat dari Kufah memintanya ke sana. Saidina Husain bersiap-siap
bersama sanak saudara dan kerabatnya untuk bertolak ke Kufah. Ada
riwayat yang menyatakan beliau dilarang berbuat demikian. Namun tidak
diendahkannya. Maka rombongan Saidina Husain pun bertolak meninggalkan
Makkah. Setelah hampir tiba di Kufah barulah dia mendengar perkhabaran
bahawa kaum Bani Umaiyah telah bersedia hendak memeranginya. Tetapi dia
tidak betah untuk kembali ke Hijaz. Dia akhirnya terbunuh di Karbala.
Selesai solat maghrib aku dan Azmi berpisah. Azmi akan ke ‘Atabah.
Katanya ada urusan. Aku mengambil teksi ke Masjid Musa di Haiyu Sabiek.
Barangkali Fuad sedang menantiku di sana. Di dalam perut teksi aku
melayan diri dan tanpa kusedari air mata Karbala menitis di Kota
Kaherah mengenangkan bilakah khilafah akan kembali. TAMAT Glosari:
ihtimal : pertimbangan ra’yu : pandangan akal berjidal: berbahas Madah
: mata pelajaran talaqi : kelas pengajian mau’id : janji tasmi’ :
memperdengarkan (pengajian Al-Quran) bai’ah : kesetian mu’tadil:
pertengahan/ adil Nota- Glosari perkataan yang disertakan sekadar untuk
menterjemahkan maksud penceritaan karya ini. Rujukan: Kitab al-Bidayah
Wan nihayah karangan Imam Ibnu Kathir. Kitab Feqh Sirah karangan Dr
Muhammad Said Ramadhan Al-Buthi. Sejarah Umat Islam karangan Prof. Dr
Hamka. Nukilan : Akhi Masrawi Tanta, Egypt. Nama : Ahmad Tarmizi Ismail
Nama Pena : Akhi Masrawi Fakulti : Syariah dan Undang-undang Universiti
: Al-azhar cawangan Tanta.
April 4th, 2006 at 6:13 pm
erm..best a citer ni..