SEIKHLAS KELAPA TUA

KELAPA TUA. Semua orang kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya kelapa tua
itu. Sangat penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup
manusia.
    Namun begitu, kewujudannya tidak dipeduli dan tidak
diendahkan orang. Kelapa tua ini tidak pernah menjadi topik
perbincangan. Tidak pernah dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah.
Kalaulah kelapa tua ini mempunyai emosi, tidak ramai orang yang akan
dapat merasakan dan menyelami perasaannya. Itulah kelapa tua.

Kelapa
tua tidak pula pernah bersusah hati kalau orang tidak mempedulikannya.
Ia hanya tergantung di atas pokok dan terbuai-buai bila ditiup angin.
    Tapi,
lazimnya elok-elok kelapa tua itu tergantung di atas pokok sambil
menikmati keindahan alam buana ini dari kedudukannya yang tinggi itu,
datanglah orang menjoloknya dengan galah yang panjang. Tidak sabar
menunggu kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesa kena jolok-jolok
macam tu.
    Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok beberapa
kali, maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. GUgur itu
pula bukannya rendah. Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai
empat puluh hingga lima puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke tanah.
Kalau kepala orang, boleh bersepai otak.
    Masalah kelapa tua ini
tidak terhenti di situ sahaja. Ini baru muqaddimahnya. Ia dikutip dan
kulit sabutnya dikoyak-koyak dan dibuang sedikit demi sedikit dengan
parang cangkuk. Proses ini bukan sekadar sekali tetak sahaja.
Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit sabutnya.
Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan. Lepas itu,
sakit dikoyak dan disiat-siat. Ini berterusan sampai tempurung sahaja
yang tinggal.
    Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah.
Cantik juga rupanya. Keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak
menilai seni yang seperti itu. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak
pula dengan parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua di
tengah-tengahnya. Maka tersemburlah dan mengalirlah air jernih dari
dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih bersih.
    Bagi
kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap ini, maka
tamatlah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua ini baru permulaan.
Banyak lagi seksaan yang menanti.
    Tak cukup dengan menyemburkan
air dari dalam perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih
bersih itu dipisahkan dari tempurung, diparut dan dikukur pula hingga
menjadi lumat. Tempurungnya dibuang. Kadang-kadang dibakar. Bentuk asal
kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah isinya yang
sudah lumat dikukur dan diparut.
    Untuk menambah seksanya lagi,
dituang pula air ke dalam isi parut itu, diramas-ramas dan
diperah-perah. Alangkah seksanya. Kalau dikirakan, ini sudah terkeluar
dari batas-batas perikemanusiaan. Kemudian, ia ditapis menjadi santan.
Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi cecair yang
putih.
    Setelah itu, minyak dipanaskan ke dalam belanga. Bawang
merah, rempah dan rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup
kuning dituanglah santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah
santan itu hinga terkeluar baunya.
    Apabila sudah masak dan baunya harum semerbak ke seluruh ceruk rumah, maka orang pun bertanya:
    “Gulai apa tu? Sedap sangat baunya!”
    Orang di dapur hanya menjawab, “Gulai ikan bawal.”
    Gulai dapat nama. Ikan bawal dapat nama.
    Orang kata, “Oh, sedap gulai ni!”
    “Oh, sedap ikan bawal ni!”
    Jasa
kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang
begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok
yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tiada siapa yang
ambil kira dan ambil peduli.
    Alangkah indahnya kalau kita dapat
berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan
dipuja. Bukan jua untuk dikenang atau untuk mendapat nama..tetapi untuk
ta’abbud kepada Allah SWT. Biarlah jasa-jasa kita tidak nampak pada
pandangan manusia..tetapi tetap wujud dalam perhatian Allah SWT.

Petikan dari Mutiara Minda
Oleh Mejar (B) Abu Dzar

~..Keikhlasan
itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang
amat kelam..Ianya wujud tetapi amat sukar dilihat..~

Leave a Reply