Malaysian oh.. Malaysian!!


KUALA LUMPUR 12 Julai - Jika majalah Reader‘s Digest meletakkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya ketiga mempunyai penduduk paling biadap di dunia, bancian global oleh Hygiene Council pula mendapati masyarakat negara ini tidak tahu membasuh tangan dengan betul.

Kajian itu dijalankan ke atas lebih 1,000 responden di seluruh negara berbanding hanya 60 orang responden dalam kajian Reader‘s Digest.
Menurut Prof. John Oxford dari Queen Mary‘s School of Medicine and Dentistry London, rata-rata rakyat negara ini membasuh tangan secara ala kadar.
‘‘Kebanyakan mereka membasuh tangan kerana prosedur. Jika mereka memahami tangan yang bersih dapat mencegah penyebaran penyakit, tentunya tabiat membasuh tangan dengan betul dapat diterapkan secara efektif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan hasil kajian pada satu majlis di sini hari ini.
Tambahnya, hanya 30 peratus sahaja responden bersetuju bahawa membasuh tangan merupakan cara pencegahan penyebaran kuman. Menurutnya, pelbagai jenis virus merebak dengan mudah melalui sentuhan seperti influenza yang menyebabkan penyakit selesema, Hepatitis A (radang hati), jangkitan usus dan cirit-birit.
‘‘Semua virus ini, mudah tersebar melalui tangan yang tercemar.
‘‘Untuk mengelakkan jangkitan, perkara asas boleh dilakukan ialah cuci tangan anda dengan bersih,” katanya.
Oxford berkata, kajian itu juga mendapati ramai mengambil jalan pintas dan tidak membasuh tangan dengan betul.
‘‘Sebanyak 34 peratus responden mengaku tidak membasuh tangan dengan betul sebelum atau selepas makan.
‘‘Sebanyak 29 peratus responden mengatakan mereka tidak membasuh tangan selepas ke tandas dan 18 peratus bersetuju mereka tidak membasuh tangan selepas bersin atau batuk,” katanya.
Menurutnya, sikap buruk rakyat Malaysia ini akhirnya akan membawa padah.

Leave a Reply